18 April 2021
KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyarankan semua rakyat mengadakan solat hajat di masjid dan di kediaman masing-masing dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Katanya, peningkatan mendadak kes Covid-19 menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di tujuh jajahan di negeri ini sehingga 29 April ini.
Katanya, kadar kebolehjangkitan (Rt) Kelantan juga meningkat dari hari ke hari dengan 1.32 pada hari ini berbanding Rt Nasional pada nilai 1.19.
Tambahnya, lebih membimbangkan apabila penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) semakin meningkat dengan 2,627 sampel yang belum mendapat keputusan ujian.
“23 peratus kes dikesan tidak melibatkan kontak rapat yang mana menunjukkan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi. Pada masa yang sama sekolah juga terpaksa ditutup apabila 30 peratus jangkitan adalah dari kalangan sekolah.
“Sehubungan dengan itu, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi penularan di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti. Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat Kelantan dan semua pihak untuk sama-sama mengambil peranan dan tanggungjawab bagi membendung pandemik ini dengan memastikan saranan dan garis panduan (SOP) yang ditetapkan sentiasa dipatuhi,” katanya pada kenyataan media, hari ini