SAPINAH AB GHANI
KOTA BHARU- Siapa sangka, dari hanya seorang agen, beliau kini berjaya memiliki empayar perniagaan sendiri dengan hampir 2,000 agen di dalam dan luar negara.
Pengasas Maksu Mall, Nor Shaznina Ibrahim, 36, atau lebih mesra disapa Memsu berkata, tidak mudah untuk beliau berada pada tahap hari ini.
“Memsu mula berbisnes pada 2016 selepas berhenti kerja sebagai guru Kafa ketika itu. Macam- macam Memsu jual dulu, seperti baju budak, kain, nasi lemak RM1, sambal bilis, colek jelagi, dan apa sahaja yang mendapat permintaan ketika itu.
“Dalam masa sama Memsu juga jadi agen jual pelbagai produk sambil belajar selok belok weberniaga,” katanya ketika dihubungi Kelantan Updates.
Memsu berkata, penglibatannya dalam perniagaan kerana minat dan ingin membuktikan walau tanpa segulung ijazah beliau tetap mampu berjaya selagi mana yakin dan fokus pada matlamat.
“Memsu memang suka buat bisnes beramai- ramai, dari mula- mula terlibat dengan perniagaan hingga hari ni, Memsu masih amalkan konsep berkongsi rezeki ini.
“Alhamdulillah, walaupun tak banyak, tapi Memsu puas bila ramai yang dapat manfaat dan mempunyai kehidupan lebih baik ketika ini,” katanya.
Mengulas mengenai persaingan, Memsu yang juga ibu empat anak berkata, ia tak pernah menjadi halangan baginya malah sentiasa percaya pada rezeki Allah.
“Memsu ada team sendiri. Kami sentiasa memikirkan kaedah untuk menyebar luas dan memasarkan produk kami, selain memikirkan hasil di setiap apa yang kami usahakan, tak ada masa memikirkan perkara lain termasuk persaingan.
“Memsu yakin dengan produk Memsu, walau berdepan lambakan produk yang seakan sama dan lebih murah, tapi dengan izin Allah Taala, Jamu Kerasak Moksu Mall tetap dapat sambutan cukup menggalakkan, alhamdulillah,” katanya.
Memsu yang memiliki sembilan stokis dan seorang leader berkata, beliau berharap akan dapat melahirkan lebih ramai usahawan pada masa hadapan.
Bercakap mengenai perancangan masa depan, Memsu yang menjadikan suaminya, Tuan Muhamad Nur Zulhisham Tuan Ismail, 38, sebagai mentor utama berkata, beliau berharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang komited dan berdaya saing.
“Kebanyakan agen Memsu dalam kalangan mereka yang memerlukan, bukan dari latar pendidikan tinggi, tapi yang ada kesungguhan dan matlamat untuk berjaya, Memsu akan bimbing hingga mereka berjaya,” katanya.