KOTA BHARU- Raut wajahnya jelas kelihatan orang yang menahan kesakitan, namun seperti kelaziman, Bob Lokman tetap mengukirkan senyuman dan sesekali berjenaka.
Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 56, yang masih dalam proses pemulihan membetulkan degupan jantung iaitu ‘Cardiac Resynchronization Therapy & Defibrillator (CRTD) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar menjelaskan beliau masih dalam proses pemulihan selepas membuat pembuat pembedahan.
“Doktor nasihat untuk mendapatkan berat badan ideal supaya jantung saya semakin baik dan perjalanan oksigen dalam badan juga kini makin stabil.
“Makanan juga berlu dijaga garam bergula pun kena kurangkan. Jadi saya akan pastikan makanan saya adalah sebagaimana yang doktor sarankan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang diketuai oleh Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid hari ini.
Bob juga melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantunya sama ada individu dan juga rakan seni ketika mana beliau mengalami masalah sebelum ini.
“Saya akan melakukan rawatan susulan dua minggu sekali dan jika ia berjalan dengan baik, ia akan berulang untuk sebulan sekali.
Kos rawatan semuanya ditanggung pihak hospital, saya cuma perlu tanggung perjalanan dan penginapan untuk setiap kali rawatan susulan tersebut.
Penulis lirik lagu Isabella berkata selepas ini, dia akan meneruskan perniagaan laksa yang diusahakan bersama isterinya.
“Alhamdulilah yuran tiga anak saya yang berada di tahfiz sebanyak RM900 juga turut dibantu, saya bersyukur sangat dan berterima kasih kepada semua pihak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid ziarah kasih ke kediaman Bob merupakan lawatan ke-103 pihaknya dalam misi membantu meringankan beban dan membantu golongan penggiat seni yang memerlukan bantuan.