SAPINAH AB GHANI
KOTA BHARU- Meskipun tidak pernah mengimpikan untuk berada di pentas antarabangsa, namun kartunis otai anak jati Kelantan ini mengakui apa yang dilalui kini di luar jangkaan.
Rosidi Semail atau lebih dikenali sebagai Pak Rossem tidak pernah menduga pembabitannya dalam industri seni lukis berjaya melonjakkan namanya ke persada antarabangsa.
“Agak terkejut jugalah ketika dihubungi dan dimaklumkan tentang pelantikan sebagai salah seorang juri untuk The First International Contest Writers Cartoon 2020, Syria.
“Saya digandingkan bersama lima kartunis lain untuk mengadili pertandingan berkenaan,” katanya.
Pak Rossem yang juga pemilik Balai Kartun Rossem (BKR) mengakui ia bagaikan satu penghormatan baginya kerana ia melibatkan pertandingan di peringkat antarabangsa seperti itu.
“Dalam pertandingan ini saya diberi tanggungjawab memilih tiga karya terbaik dengan pengiraan markah antara 1 hingga 10,” katanya.
Pak Rossem yang juga anak kelahiran Peringat Kelantan ini sebenarnya cukup dikenali dalam kalangan kartunis dalam dan luar negara.
Buah tangannya sentiasa dinanti, malah beliau mempunyai cara serta idea tersendiri dalam mempersembahkan setiap karyanya.
Bekas kartunis akhbar The Sun ini memulakan kerjaya sebagai pelukis kartun sekitar 1970-an.
‘Konstabel Jabit’ antara karekter kartun pertama yang dicipta Pak Rossem untuk mengisi dada akhbar Utusan Malaysia sekitar 1978- 1993.
Beliau jugalah yang memainkan peranan penting di sebalik penganjuran pertandingan dan pameran kartun antarabangsa yang diadakan di Kelantan baru- baru ini.