SAPINAH AB GHANI
KOTA BHARU- Bukan hanya mengindahkan, malah lukisan mural berkisar suasana semasa masyarakat negara ini dalam menghadapi Covid- 19 pasti meninggalkan sejarah tersendiri.
Lukisan mural dipercayai yang pertama di Pantai Timur dengan tema petugas barisan hadapan sempena pendemik Covid- 19 di Jalan Temenggung ini siap sepenuhnya pertengahan bulan lalu.
Orang ramai ditemui rata- rata mengakui usaha menghasilkan mural dengan tema situasi Covid- 19 ini keputusan tepat.
Pekerja swasta, Ainun Khadijah Lokman, 24, berkata, kewujudan mural tersebut akan menjadi memori kepada semua orang tanpa mengira peringkat usia.
“Selain memberi nafas baru kepada kawasan ini, ia juga suatu usaha untuk kita sentiasa ingat dengan apa yang sedang diperjuangkan negara ketika ini.
“Ia juga akan memperlihatkan bagaimana isu Covid- 19 ini telah mengubah cara hidup dan norma baru kehidupan masyarakat hari ini,” katanya.
Sementara itu, usahawan, Lau Chit Fang berkata, di Kelantan terutama di Kota Bharu ada beberapa lagi mural, tapi beliau yakin mural terbaru ini mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Apa yang dilakarkan ini adalah situasi yang dihadapi semua orang, bagaimana pendemik Covid- 19 itu membuatkan banyak pihak terkesan, begitu juga dengan mural ini, selagi ia ada di sini, sampai bila- bila pun orang akan ingat tentang wabak tersebut,” katanya.
Sementara itu, mural sebesar 216 meter persegi ini akan menjadi salah satu mercu tanda di Kota Bharu sekali gus menarik perhatian pengunjung ke negeri ini.
Mural hasil air tangan pelukis tempatan, Mohamad Sayuti Rosli dan Izzat Abdul Ghani ini merupakan projek di bawah kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Balai Seni Negara dan Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandar Raya Islam (MPKB- BRI).
Kredit foto:
Speed Media Events & Distribution