KOTA BHARU-Sebut sahaja panggung Lido, Odeon, dan Rex, bagi mereka berada di zaman ini, maka pelbagai nostalgia muncul kembali.
Ada yang berjalan kaki, tidak kurang berbasikal dan yang berada berkereta antik ke Kota Bharu semata mata untuk menonton pelbagai filem.
Atas faktor tertentu termasuk bagi mengelak aktiviti kurang sehat, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu merupakan Menteri Besar Kelantan, telah menghentikan operasi Panggung Wayang di Kelantan pada 1990.
Sejak daripada itu, orang Kelantan tidak lagi dapat menonton filem walaupun cerita latarnya berunsurkan kebaikkan.
Selepas lebih 30 tahun hiburan panggung wayang terhenti di negeri Cik Siti Wang Kembang, pembukaan kembali terus menjadi bahan perbincangan.
Setiap kali ada pasaraya baru dibuka, sasaran panggung wayang terus diperkatakan.
Sudah pasti ledakan arus teknologi termasuk industri perfileman tidak dapat disekat.
Apalagi, Kelantan kekurangan pusat rekreasi dan riadah yang mana ia sangat diperlukan dalam “circle” kehidupan.
Bagi mereka yang gian menonton wayang, ada yang sanggup ke Kuala Lumpur dan yang paling dekat ke Kuala Terengganu.
Persolannya, adakah panggung wayang terus tidak dibenarkan beroperasi dikala mana negeri-negeri jiran dibenarkan.
Jika perkiraan politik diambil kira, kerajaan Terengganu juga dikuasai parti yang sama di Kelantan.
Dan jika betul panggung wayang ini penyumbang peningkatan gejala sosial, adakah cara syariah boleh dimplikasikan sebagai mana syarat ketat yang diamalkan di Terengganu.
Jika bank, syarikat penerbangan, insuran dan sebagainya boleh mengaplikasikan patuh syariah dalam sistemnya, adakah pawagam ini tidak boleh?
Islam membenarkan hiburan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, ada menceritakan tentang kisah Ummu Mukminin, Aisyah binti Abu Bakar berhibur dengan mendengar lagu yang dinyanyikan oleh biduanita daripada wanita Ansar.
Rasulullah SAW membiarkan Aisyah RA mendengar lagu tersebut hinggalah Aisyah RA sendiri merasa cukup dan berlalu dari situ.
Rasulullah SAW juga berhibur melalui sukan lumba lari bersama isterinya. Namun begitu Rasulullah SAW mengakui solat merupakan kerehatan dan hiburan sebenar baginda.
Ini menunjukkan baginda meraikan hiburan yang berbentuk sederhana walaupun solat merupakan keutamaan dan hiburan paling menyeronokkan baginda.
Cerita orang lama tentang pawagam
Zainab Mohamad,78, wayang dahulu hanya untuk beriadah di mana setiap kali filem kegemaran khususnya dari Bolliywood ditayang anak dan adik beradik menjadi ‘mangsa’ untuk menemaninya ke sana.
Menurutnya, ketika itu pada awal tahun 1950 an filem hindi paling popular ialah Sanggam.
“Suka sangat dapat tengok wayang ketika itu umur mak cik 16 tahun, masa itu tiket harga 50 sen sahaja dah dapat duduk di barisan hadapan
“Wayang tradisional, bunyinya memang bising mungkin dari mesin peralatannya,”katanya.
Tambahnya, sekarang ada mendengar ura-ura ada pengusaha mahu membuka pawagam di negeri ini namun sehingga kini berita tersebut tidak dapat disahihkan.
“Ada juga dengar ura-ura tauke wayang nak masuk Kelantan tapi mak cik dah tak minat sebab dah berusia baik duduk di rumah sahaja.
“Tak salah kalau nak buka pawagam untuk bawa keluarga beriadah, asalkan jangan menggalakkan benda negatif dalam kalangan orang muda,”katanya.
Sementara itu, Exco Badan bukan kerajaan (NGO) Agenda Angkatan Generasi Muda (Agenda), Afifi Muhd Nor berkata,dia menyokong penuh pembukaan pawagam di negeri ini bagi memberi lebih pilihan kepada rakyat untuk beriadah.
Namun, katanya, ia perlu dilakukan mengikut syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat dari sudut Islam.
“Pembukaan pawagam ini akan memberikan peluang untuk anak-anak muda mengisi masa lapang dengan aktiviti yang lebih berkualiti sekaligus mengelak melakukan aktiviti negatif.
“Berhibur tiada salahnya asalkan syariah dipatuhi dari masa ke semasa. Malah pihak berkuasa telah menyediakan kawalan keselamatan dan pemantauan daripada berlaku perkara yang tidak diingini,”katanya.
Tambahnya, perkara negatif ini bukan hanya berlaku kerana adanya pawagam tetapi boleh berlaku di mana-mana sahaja jika tiada kawalan.
Beliau berkata, jika mahu ia diaktifkan kembali pihak berkuasa perlu memastikan ia benar-benar mendatangkan kebaikan dan bebas dari unsur yang memburukkan keadaan.
Sementara itu, Muhamad Khalid Tan,33, berkata, pawagam boleh dibenarkan beroperasi dengan syarat tidak mengabaikan larangan dan syarat yang diberi.
Ahli perniagaan muda ini menambah, pengusaha pawagam perlu memahami dan mengikuti syarat diberi selain memperbanyakkan tayangkan filem yang berunsur kerohanian dan kekeluargaan.
“Filem yang melalaikan yang menyentuh sensititi agama dan bangsa dari tidak perlu tayangkan di sini. Paling penting pengasingan kerusi mahram dan larangan tayangan ketika waktu solat,”katanya