Mewarisi bakat seni daripada bapanya yang juga seorang pensyarah dalam bidang tersebut, Nasrin Nadhirah berkata, dia mendapat pendedahan seawal usia lima tahun dan mula menunjukkan minat yang tinggi dalam bidang tersebut sejak usia 12 tahun.

Katanya, dia mula menyertai aktiviti dan pertandingan dalam bidang seni sejak sekolah rendah dan telah memenangi beberapa anugerah sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Namun, ini kali pertama saya dinobatkan sebagai johan dan lukisan yang dipertaruhkan juga sangat dekat dengan jiwa saya. Ia bukan hanya sekadar lukisan tapi hati dan perasaan saya.
“Kejayaan ini sangat bermakna dan mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya bapa saya, guru pembimbing, Nik Anita Nik Ahmad, rakan-rakan dan pihak sekolah yang banyak membantu mencapai kejayaan ini,” katanya.
Lukisan bertajuk “Kasih Ibu” tersebut menterjemahkan perasaan Nasrin Nadhirah dan keluarganya yang kehilangan ibu dengan menampilkan figura adiknya yang membawa bekal makanan dan pakaian di ruang hospital menunggu ibunya yang mendapatkan rawatan di sana. Mereka menaruh harapan yang tinggi agar ibu yang menjadi tempat bermanja akan kembali sihat dan dapat pulang bersama-sama meneruskan kehidupan seperti biasa.
Turut dilakarkan adalah kad hari lahir ibu yang ditulis sendiri oleh adiknya sebagai pembakar semangat buat si ibu dan ditampilkan dalam warna yang suram sebagai simbolik kesedihan mereka.
Tambah Nasrin Nadhirah, dia bermula dengan lukisan realistik sebelum berjinak-jinak dengan lukisan potret pada usia 14 tahun dan berhasrat mendalami dunia seni dengan lebih mendalam bagi mengasah bakat yang ada.