KUALA KRAI – Setelah sekian lama ditutup dan terbiar sepi, Zoo Negeri Kuala Krai giat dibangunkan semula oleh Majlis Daerah Kuala Krai dengan nafas baharu.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, pembangunan semula Taman Hutan Bandar itu berkonsepkan rekreasi antara manusia, haiwan dan alam sekitar.
“Pembangunan semula itu sedang giat dijalankan dan Zoo Negeri Kuala Krai tersebut bakal dibuka kepada umum pada Jun 2021,” katanya pada laman Faceebook peribadi selepas melawat zoo tersebut, semalam.

Pada lawatan kerja ke Majlis Daerah Kuala Krai tersebut, Dr Izani turut melawat Muzium Kuala Krai dan merasmikan taman awam baharu di daerah itu, Taman Awam Masjid Kuala Krai.
Rata-rata status Dr Izani tersebut mengujakan orang ramai terutamanya penduduk Kuala Krai yang rindukan zoo tersebut setelah sekian lama ditutup dan terbiar sepi.
Menurut Wan Fatihah Wan Sohaimi, lebih banyak pusat rekreasi perlu dibuka di negeri ini untuk kemudahan aktiviti keluarga dan ke arah rakyat yang lebih sihat fizikal dan mental.
Bagi Aish Arfa Wan Aremar, pusat rekreasi bukan sahaja untuk menyediakan kemudahan keluarga beriadah tetapi juga mampu menjana ekonomi rakyat khususnya dan kerajaan amnya.
Sementara itu, Mohd Zamri Che Zakaria mencadangkan lebih banyak pusat rekreasi yang menarik dan luas dibina dengan menyediakan kemudahan berjoging dan berbasikal.

Untuk rekod, Mini Zoo dan Muzium Kuala Krai (termasuk restoran dan Motel Tasik Krai) suatu masa dulu adalah kebanggaan seluruh penduduk disini.
Zoo Kuala Krai beroperasi selama berpuluh-puluh tahun sebelum ditutup dan diganti dengan Taman Burung pada 2007 yang akhirnya turut ditutup pada 2010 ekoran kos perbelanjaan makanan haiwan yang tinggi.
Zoo Kuala Krai mempunyai sejarah yang unik dan panjang. Sewaktu mula-mula ditubuhkan pada 24 Disember 1964, ia dinamakan sebagai Muzium Mergastua dan susuk yang banyak memainkan peranan penting dalam penubuhan ini adalah Ketua Jajahan Datuk Abdullah Mahmud (Dato Lela Jasa Kelantan).
Kredit : Dr Izani Husin
KualaKrai.ORG