KOTA BAHRU-Tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sedia ada di Kelantan mencukupi bagi menampung jumlah pesakit di negeri ini.
Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, tiga PKRC terbabit iaitu di Dewan Jubli Perak, Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan di Gua Musang, tidak perlu ditambah.
“Perkara yang penting sekarang bagaimana untuk menurunkan jumlah jangkitan dan bukan membuka lebih PKRC,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada program Info On Wheels (IOW) di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, yang dilancarkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Dalam pada itu beliau berkata, jumlah pesakit Covid-19 berisiko rendah yang dibenarkan kuarantin di rumah di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) di seluruh negeri ini berkurangan daripada lebih 500 individu sebelum ini kepada 140.
Katanya, mereka yang menjalani HSO di rumah turut dipakaikan gelang berwarna dan tidak boleh keluar rumah sehingga tamat tempoh kuarantin.
“Secara kumulatif setakat ini, lebih 500 individu menjalani HSO di rumah, manakala 140 pesakit masih aktif.
“Mereka melalui tapisan ketat melihat kepada kesesuaian gejala atau tahap risiko sekiranya dibenarkan untuk kuarantin di rumah,” katanya.