KOTA BHARU – Bukan satu atau dua tetapi 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) diseludup masuk ke negeri ini menggunakan bas ekpress, semalam.
Tindakan berani ‘mati’ seorang tekong itu membawa padah apabila berjaya dikesan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di Wakaf Che Yeh, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Pegawai Pemerintah PGA9, Superintenden Nor Azizan Yusof, berkata anggotanya terserempak sebuah bas jenis Scania berwarna biru dan putih serta Toyota Innova coklat dalam keadaan mencurigakan ketika membuat rondaan pada jam 7 malam.
Katanya, pihaknya mendekati dua lelaki tempatan yang berada sebelum memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta mereka mengemukakan kad pengenalan diri.
Tambahnya, anggota kemudian mengarahkan mereka membuka pintu bas yang berkunci untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 22 lelaki dan 13 perempuan serta seorang kanak-kanak disyaki warganegara Thailand, tanpa dokumen perjalanan yang sah dan salah seorang daripada suspek warga tempatan mengakui menjadi tekong untuk menyeludup kesemua PATI berkenaan.
“Anggota kemudian bertindak merampas bas dan kenderaan selain menahan kesemua mereka yang berusia linkungan 20-an hingga 40-an, untuk dibawa ke Komtek Taman Bakti di Rantau Panjang bagi tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Nor Azizan berkata, hasil siasatan terhadap tekong berkenaan, mengakui menerima upah RM200 bagi urusan penyeludupan PATI dari Thailand ke Malaysia.
Sementara itu, pada hari yang sama, Nor Azizan berkata, pihaknya turut menahan seorang lagi tekong bersama dua lelaki dan dua wanita warga Thailand dipercayai PATI hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Dangar, Pasir Mas, pada 3.28 petang, semalam.
“Ketika kejadian, kesemua mereka berada di dalam kereta jenis Mazda berwarna hitam dan hasil pemeriksaan lanjut kesemua empat PATI berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Anggota merampas dan menahan kesemua PATI termasuk tekong warga tempatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 26J ATIPSOM 2007,” katanya.
Harian Metro