ROHANA ISMAIL
TUMPAT – Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan 30 minit apabila kakinya tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berdekatan chabang tiga Che Sepiah Kubang Batang di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3 petang, mangsa Anuar Sidik, 50, dari Kampung Kubang Batang mengalami patah kaki kanan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan van dipandu mangsa hilang kawalan lalu merempuh lori menyebabkan sebuah kereta di hadapan lori turut terlibat ketika mangsa dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Pengkalan Kubor.
Adik mangsa, Ahmad Hafiza Sidik, 44, berkata, abangnya dalam keadaan stabil tetapi mengalami kecederaan patah kaki kanan.
“Abang ada trip menghantar barang jualan pasaraya tempatnya bekerja.
“Tetapi semalam dia ditimpa musibah dan kemalangan ini mengejutkan saya kerana ia berlaku tidak jauh dari rumah kami,” katanya.
Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba.