KOTA BHARU- Taktik seorang pencuri yang menyembunyikan emas di dalam jubah setiap kali menjalankan ‘operasi’ akhirnya terbongkar ketika cuba mengulangi cara sama baru-baru ini.
Kegiatan wanita berjubah berusia 25 tahun itu di dua buah premis di Jalan Temenggong sejak tiga tahun lalu itu terbongkar apabila disedari pemilik kedai tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek disyaki telah mencuri sebanyak 27 gelang emas yang dianggarkan bernilai RM180,000 dalam tempoh tiga tahun di kedua-dua premis yang terletak bersebelahan itu dengan cara memasukkan barangan kemas terbabit ke dalam lengan jubahnya.
Katanya, pemilik kedai emas mendapati seutas gelang tangan hilang selepas suspek keluar dari premisnya kira-kira jam 6 petang pada 23 Januari lalu.
Tambahnya, mangsa kemudian menonton semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan mendapati gelang itu dicuri oleh wanita terbabit yang dilihat sering memakai jubah setiap kali ke kedainya.
“Mangsa yang mengenali wanita itu segera menghubunginya dan meminta dia memulangkan gelang tangan itu. Selain memulangkan gelang, suspek turut memberi ganti rugi wang tunai RM1,000 kepada mangsa.
“Mangsa mengesyaki barang kemas yang hilang di premisnya sebelum ini juga telah dicuri oleh suspek yang menjadi pelanggan tetapnya sejak tiga tahun lalu,” katanya
Sepanjang tempoh tersebut kata Shafien, mangsa mendakwa sebanyak 11 unit barang kemas bernilai RM60,000 hilang selepas suspek datang ke kedai dan berpura-pura mencuba beberapa gelang emas.
Katanya, mangsa kemudian turut memeriksa CCTV di kedai emas bersebelahan milik kakaknya dan mendapati sebanyak 16 gelang emas dianggarkan bernilai RM120,000 turut lesap dipercayai dicuri suspek.
“Siasatan mendapati, suspek yang masih bujang merupakan pelanggan tetap di kedai emas di situ sejak tiga tahun lalu. Dia dipercayai mencuri barang kemas di kedua-dua kedai ketika datang untuk membeli emas.
“Ketika pemilik sedang leka melayan pelanggan, suspek memasukkan barang kemas ke bahagian lengan jubah yang dipakainya,” katanya.
Tambah beliau, suspek kini direman selama dua hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Kredit : Utusan Malaysia