PASIR MAS- Seorang wanita dan anak berusia lima tahun antara tiga ditahan polis kerana memiliki dadah jenis heroin dan pil kuda bernilai RM290,000 dalam serbuan berasingan, semalam.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar, berkata wanita dan anaknya itu ditahan di Kampung Slow Machang manakala dua lelaki ditahan di sekitar bandar ini.
Katanya, wanita berusia 35 tahun itu, ditahan dalam serbuan anggota JSJN negeri dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di kediamannya pada jam 10 malam, ketika bersama anaknya.
“Siasatan polis kemudian menemui 14 bungkusan kertas mengandungi 120 botol berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dan sembilan paket plastik biru yang diisi 1,800 biji pil merah dipercayai pil kuda.
“Wanita terbabit kemudian diarahkan membuat ujian saringan air kencing, namun hasilnya menunjukkan dia negatif daripada sebarang pengambilan barang terlarang selain tiada rekod kesalahan lampau.
“Polis masih menyiasat dan mengenal pasti pemilik sebenar semua dadah ditemui kediaman wanita terbabit,” katanya ada sidang media di IPD Pasir Mas, hari ini.
Sheik Azhar berkata, dalam dua serbuan berasingan pada hari sama, polis turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 31 tahun kerana memiliki pil kuda dan syabu.
“Suspek pertama ditahan bersama 1,000 biji pil kuda bernilai RM10,000 manakala suspek kedua memiliki 5.19 gram dadah jenis syabu bernilai RM560.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau penyalahgunaan dadah.
“Ketiga-tiga suspek yang ditangkap dalam operasi ini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini sehingga 27 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) dan 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Tambahnya, jika sabit kesalahan kesemua suspek boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mandatori.
Kredit : Harian Metro