Jururawat HUSM berkorban demi tugas
KOTA BHARU-Jika guru diibarat lilin, bagi frontliner mereka mempertaruhkan nyawa dalam memastikan keselamatan kepada masyarakat.
Buktinya, seorang jururawat wanita di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, meninggal dunia malam tadi dipercayai akibat Covid-19.
Menurut Harian Metro, mangsa meninggal dunia jam 10.15 malam tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ).
Kematian itu menjadikan mangsa berusia 52 tahun adalah korban keenam Covid-19 di Kelantan.
Keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, “Arwah mempunyai dua orang anak dimasukkan ke hospital sejak 7 Disember lalu sebelum disahkan positif Covid-19.
“Arwah adalah seorang ketua jururawat di Unit Rawatan Rapi Pembedahan HUSM. Kami sekeluarga reda dengan kematiannya.
“Suami dan anak-anak arwah juga masih dikuarantin,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nilam Baru, hari ini.
Jenazah dikebumikan jam 11 pagi.
Seramai 20 orang terdiri yang hadir di tanah perkuburan itu termasuk daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri serta beberapa anggota keluarga.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, ketika dihubungi memaklumkan perkara itu masih dalam siasatan pihaknya dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi sebaik siasatan selesai.