KOTA BHARU – Tiga buruh Indonesia didakwa atas tuduhan merogol seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam, Disember lalu di Kampung Padang Lengkuas, Melor, di sini.
Tertuduh, La Aliudin, 42; La Muluki, 40; dan Mohamad Adam, 26 yang didakwa di Mahkamah Sesyen itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Memetik laporan Harian Metro, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizuan Sulaiman dan semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Faizuan memohon pertimbangan mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan kepada ketiga-tiga tertuduh, mengambil kira kesalahan dilakukan serius.
Ahmad Bazli kemudian memutuskan tiada jaminan buat tertuduh dan menetapkan 6 Mei depan untuk sebutan semula kes.