Oleh SAPINAH AB GHANI
28 April 2021
KOTA BHARU- Hanya kerana ‘snowcap berhantu’ yang diperkenalkan kira- kira lima tahun lalu, namanya kini cukup sinonim dalam industri fesyen apabila memiliki jenama tudung sendiri, iaitu By Che Fiza (BCF).
Pengasasnya, Che Nurul Hafizah Che Zulkifli, 28, berkata, beliau sememangnya tidak menyangka penangan anak tudung itu mampu membawa dirinya pergi lebih jauh dalam industri fesyen sehingga berjaya memiliki kilang tudung sendiri.
Memulakan langkah pertama sebagai peniaga atas talian, Che Nurul Hafizah berkata, berbekalkan modal permulaan sebanyak RM2,000 beliau kemudiannya mengembangkan perniagaan di Up Town Pasir Tumbuh dengan menjual pelbagai barangan termasuk blouse, skirt, tudung dan snowcap.
“Selepas menamatkan pengajian, saya cuba jual online, sekitar 2016 saya masuk Up Town, jual macam- macam ketika tu, bila tengok sambutan terhadap snowcap lebih baik dari produk lain, saya putuskan untuk fokus pada satu produk sahaja.“Saya mula buat online dan hasilkan anak tudung dengan jenama sendiri, sambutan memang luar biasa, bila tak menang tangan saya tinggalkan Up Town dan fokus jualan atas talian.
“Saya ada stor mini di rumah. Ketika itu khidmat agen digunakan, tapi banyak jualan secara borong.
“Bila stor mini tak dapat tampung, saya buka butik sekitar Lembah Sireh, agen makin bertambah. Saya pinjam modal dari keluarga untuk cari material dan jahit sendiri,” katanya kepada Kelantan Updates ketika ditemui di kilangnya di Pengkalan Chepa di sini.
Mengulas lanjut, majikan kepada 50 kakitangan ini berkata, tahun kedua beliau menjalankan perniagaan snowcap tersebut, lebih satu juta helai terjual dan ia pencapaian di luar jangkaan.
“BCF kemudian mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan produk- produk lainnya termasuk tudung dan shawl.
“Alhamdulillah sambutan terhadap semua produk BCF sangat luar biasa, permintaan melebihi penawaran, pasarannya bukan hanya di Malaysia, tapi turut mendapat permintaan dari Brunei, Singapura dan Mekah,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persaingan berikutan pelbagai jenama tudung di pasaran ketika ini, Che Nurul Hafizah yang banyak mempelajari selok belok dunia perniagaan dari bapanya, Che Zulkifli Awang Teh, 56, berkata, beliau yakin BCF mempunyai kekuatan sendiri untuk bersaing secara sihat di pasaran.
“BCF menggunakan material cotton viscose, custom made, sejuk, serap peluh dan cantik ‘terletak’, rambut pun tak keluar walau dipakai tanpa anak tudung, malah lebih istimewa tak perlu gosok, ia ciri- ciri yang sangat dicari ketika ini,” katanya.
Menurut graduan Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban ini lagi, harga ditawarkan juga sangat mampu milik dan berbaloi iaitu antara RM35 hingga RM42 sehelai.
Isteri kepada Muhammad Fitri Abd Razak, 28, ini berkata, sekitar 150,000 helai produk terdiri daripada semua design perlu disediakan setiap bulan bagi memenuhi permintaan 8600 agen yang ada di seluruh negara.