Ajal balik tarawih..
18 April 2021
KOTA BHARU- Dua maut manakala seorang parah dalam kemalangan melibatkan dua motosikal di Jalan Perol, Kampung Kukang di sini malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian kira- kira jam 10 malam itu, Mohamad Yusoff, 70, dan Farahan Cheteh, 17, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang juga anak Mohamad, Muhammad Soleh, 17, cedera parah.
Difahamkan, Mohamad dan anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian warga emas itu menunggang motosikal Honda jenis C100 bersama anaknya dari arah Peringat ke Perol.
“Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggangi membelok ke kanan untuk masuk ke lorong tali air menuju ke rumah mereka tanpa menyedari kehadiran motosikal lain dari arah bertentangan.
“Berlaku perlanggaran secara berhadapan yang menyebabkan kesemua mangsa tercampak di atas jalan.
“Perlanggaran itu juga menyebabkan Mohamad dan Farahan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Abdul Rahim berkata, Muhammad Soleh dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan di bahagian muka.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang buruh binaan maut selepas dipercayai terbabas sendirian ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Baru Tunjong di sini, pagi tadi.
Abdul Rahim berkata, dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa, Norhisam Mohd Nor, 47, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss datang dari arah Pasir Hor menghala ke tempat kerjanya.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Mangsa jatuh dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, mayat mangsa dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat.
Abdul Rahim berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.