Oleh SAPINAH AB GHANI
12 April 2021
TANAH MERAH- Seorang bapa di sini buntu selepas tidak lagi mampu untuk bekerja dan menyara keluarganya akibat masalah saraf kronik yang dihidapi.
Mohd Yusnizan Yusof, 44, hanya mengharapkan sepenuhnya bantuan isteri, Nor Azma Othman@Seman, 35, untuk menguruskan dirinya yang kini tidak berdaya untuk melakukan apa- apa.
“Tak boleh buat apa, hanya terlantar. November lalu, kaki dan tangan saya kebas- kebas, waktu itu saya masih boleh bertahan untuk terus bekerja.
“Bagaimanapun keadaan semakin teruk sebulan kemudian hinggalah saya tak lagi mampu untuk bergerak dan akhirnya terlantar hingga hari ini,” katanya ketika dihubungi Kelantan Updates di sini hari ini.
Mohd Yusnizan yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia mungkin hilang punca pendapatan jika keadaannya berterusan seperti ini.
“Sekarang saya dalam tempoh cuti sakit dan masih dibayar gaji, tapi bagaimana jika cuti itu habis, saya besar kemungkinan hilang punca pendapatan, isteri juga tidak bekerja,” katanya.
Bapa kepada Nurul Nazirah, 6 dan Nurul Nazmia, 2 ini berkata, selain dia, isterinya Nor Azma juga berdepan masalah kesihatan selepas disahkan menghidap kanser limfoma tahap dua dan masih mendapat rawatan susulan.
“Isteri dikesan menghidap kanser limfoma pada 2017 ketika mengandungkan anak kedua kami,” katanya.
Mohd Yusnizan berkata, jika diikutkan lebih RM1,000 sebulan diperlukan untuk perbelanjaan harian mereka sekeluarga termasuk susu dan pampers untuk dia dan anak keduanya.
“Setakat ini perbelanjaan kami turut dibantu oleh sumbangan dan ihsan orang ramai, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa pihak lain,” katanya.
Dia yang menetap di Kampung Banggol Jenereh berkata, sehingga kini hospital mahupun klinik belum dapat mengesahkan jenis dan punca penyakit dihidapi.
“Tak tahu penyakit apa, tapi kalau dalam bahasa kita, mungkin masalah saraf,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Yusrizan berkata, dia berharap dirinya akan bertambah baik dan dapat menjamah makanan selepas beberapa bulan hanya bergantung kepada susu.
“Keinginan nak makan tu ada, nak sangat, dah lama saya tak makan apa- apa. Hanya bergantung pada susu Ensure Gold sebagai alas perut.
“Tapi bila tengok sahaja makanan, selera tu hilang tiba- tiba. Memang langsung tak makan sejak beberapa bulan lalu, kalau boleh makan tak po doh..,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan anda ke akaun Maybank Mohd Yusnizam (112157018308) atau menghubunginya di talian 0 12-952 5802.