Oleh SAPINAH AB GHANI
7 Mac 2021
KOTA BHARU- Jutawan terkenal yang sebelum ini viral dengan helikopter peribadinya sekali lagi membuat kejutan apabila bertindak membawa penduduk kampung terbang bersamanya.
Muhammad Azlan Al- Amin yang juga jutawan hartanah bertindak demikian demi memberi pengalaman menaiki helikopter kepada penduduk kampungnya.
“Alhamdulillah…selama tiga hari ini, saya telah memberi peluang kepada lebih kurang 200 penduduk kampung untuk merasai pengalaman menaiki helikopter secara percuma.
“Dari orang tua, kanak- kanak, orang miskin dan anak- anak yatim,ramai berpeluang menaiki helikopter…subhanallah,” katanya di laman entri Facebook miliknya.
Dari status berkenaan juga menggambarkan perasaan syukur dan gembira Muhammad Azlan apabila dapat berkongsi sedikit kegembiraan bersama penduduk kampung.
“Aku anak kampung,secebis kegembiraan ini ku kongsikan buat mu semua di kampung halaman ku..
“Terima kasih semua atas doa!,” luahnya.
Difahamkan sebelum ‘terbang’ bersama penduduk kampung, Muhammad Azlan terlebih dahulu menyantuni kedua ibu bapanya apabila membawa mereka ‘terbang’ untuk bersarapan pagi bersama.
Muhammad Azlan yang turut membuat ‘live’ ketika ‘menerbangkan’ penduduk kampung menerima pujian dan maklum balas positif daripada warganet.
Rata- rata meluahkan rasa kagum dengan tindakan peneraju syarikat Azlan Al- Amin Properties Sdn Bhd itu.
Kredit photo:
Muhammad Azlan Al- Amin