Che Timah berkata, sebelum ini dia menjual jamu secara atas talian bagi mencari sesuap nasi bagi menampung keperluan keluarga selepas suaminya jatuh sakit.
Namun katanya, sejak mac lalu kesihatan suaminya, Mohd Fadhli Che Wan, 56 semakin merosot, terlantar dan bergantung kepada susu khas di rumah mereka di Kampung Panggung, dekat Pulai Chondong di sini sekaligus memaksanya berhenti kerja.
“Selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada tekak, keadaannya bertambah teruk dan tidak mampu menguruskan diri sendiri.
“Dia hanya terlantar selain hanya boleh minum susu khas bagi menggantikan sumber makanan. susu tersebut akan disalurkan di bahagian perut sebanyak tiga kali sehari,” katanya.
Menurut Che Timah, selain bantuan JKM, keluarganya juga bergantung kepada bantuan penduduk setempat bagi meneruskan kehidupan mereka.
Katanya, buat masa ini dia bernasib baik apabila menerima bantuan susu khas daripada Majlis Kanser Negara memandangkan kos susu tersebut agak tinggi dan tidak mampu diusahakannya dan keluarga.
Jelasnya, sekalipun telah menjalani pembedahan namun ketumbuhan di bahagian tekak suaminya semakin membesar dan keadaan itu menyukarkannya untuk bercakap dan membuka mulut.
“Sehingga kini pak cik masih berulang alik ke hospital bagi menjalani sesi kimoterapi. Bukan sedikit perbelanjaan yang kami perlukan setiap bulan namun kami tak mampu usahakannya.
“Anak lelaki lepasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) juga masih mencari pekerjaan dan saya berharap dia mendapat pekerjaan secepat mungkin sekaligus membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga,” katanya sayu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB Che Timah 7611 2820 28 atau menghubungi mereka di talian 013- 3786645.