26 Mac 2021
KOTA BHARU- Tindakan tegas yang dikenakan terhadap penjaja jalanan bukan untuk menyekat rezeki mereka sebaliknya menjaga keselamatan peniaga dan pengguna jalan raya di negeri ini.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, perkara itu seharusnya difahami kerana membahayakan nyawa banyak pihak.
“Kita telah ambil pendekatan dengan memberikan nasihat kepada peniaga terlibat sejak sebulan lalu.
“Kita juga sudah memberi peluang kepada peniaga untuk membuat persediaan selain menukar corak perniagaan lebih sesuai berbanding berniaga di jalanan yang nyata menyalahi undang-undang,” katanya.
Shafien ditemui media selepas mengadakan Sambutan Peringatan Hari Polis ke 214 peringkat Kontinjen Kelantan di Dewan Dato’ Dr Abdul Rahman yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kelantan, Abdullah Muhammad Piah.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya telah memberikan pertimbangan sewajarnya dalam
perkara ini.
“Cuma nasihat saya kepada orang ramai, sama-samalah kita mendidik sebenarnya. Kalau nak ambil tindakan saman, hari-hari polis boleh buat.
“Saya faham dalam kekangan ekonomi hari ini, memang masing-masing nak cari duit, namun jangan sampai membahayakan peniaga dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.