KOTA BHARU -Bukan satu atau dua tetapi 10 kes varian South African B.1.351 direkod buat pertama kalinya di negeri ini, semalam.
Varian yang mempunyai kaitan lokasi geografi dan berhubung rapat dengan Kluster Jalan Lima, Selangor itu dikesan dari Kluster Bunut Sarang Burung.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan pada perkongsian Facebook, berkata, pada masa yang sama, varian tersebut turut dikesan di Perak.
“Selain daripada itu, terdapat tujuh kes lain dikesan di Selangor.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes tempatan COVID-19 varian South African B.1.351 adalah sebanyak 48 kes,” kongsinya.
Varian South African B.1.351 itu pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember lalu di dua negara iaitu United Kingdom dan Afrika Selatan.
Di Malaysia varian itu mula dikenal pasti pada Mac lalu.