KOTA BHARU – Maybank Cawangan Kubang Kerian di sini, ditutup sementara mulai hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak bagi melaksanakan proses pembersihan rapi dan sanitasi.
Maybank dalam satu kenyataan berkata, proses nyahkuman tersebut dilaksanakan susulan seorang kakitangan bank tersebut dikenalpasti mempunyai kontak secara langsung dengan individu yang dikenalpasti Pesakit Dalam Siasatan (PUI) Covid-19.
Bagaimanapun, menurutnya, kontak rapat itu berlaku di luar cawangan dan Maybank akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkenaan bagi memastikan semua protokol kesihatan dipatuhi.
“Sementara itu, anda dinasihatkan untuk melakukan transaksi perbankan anda melalui Maybank2u, Maybank2u Biz dan Maybank2E dari kediaman masing-masing dengan selamat.
“Anda juga boleh mengunjungi cawangan yang berdekatan atau menggunakan Terminal Layan Diri kami bagi memenuhi keperluan perbankan anda,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Maybank di talian 1-300-88-6688