Ahli Parlimen (AP) Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menjadi AP pertama dari Kelantan yang menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan menerima suntikan itu sempena Program Vaksinasi peringkat Kementerian Pertahanan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, hari ini.
Program bermula kira-kira jam 9.30 pagi itu didahului dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan.
Progran peringkat kementerian itu lanjutan daripada Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Rabu lalu.
Turut menerima suntikan termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang serta pengurusan tertinggi dan pegawai kanan kementerian itu.