SAPINAH AB GHANI
TANAH MERAH: Dua daripada lima gajah yang berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan Kelantan di Kampung Kuala Tiga Selasa lalu di dipindahkan hari ini.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Mohd Khairul Adha Mat Amin berkata, dua yang dipindahkan hari ini merupakan ibu gajah dan anak berusia 15 dan setahun.
“Seekor 1.5 matrik tan dan seekor lagi 400 kilogram. Selebihnya akan dibawa keluar esok.
“Kita harap proses pemindahan esok juga akan berjalan lancar. Kesemua haiwan ini dibawa ke Taman Negara Kelantan-Terengganu secepat mungkin,” katanya ketika hadir membantu proses pemindahan mamalia berkenaan di sini hari ini.
Menurutnya, empat ekor gajah denak digunakan bagi membantu proses pemindahan kelima- lima gajah betina berkenaan.
“Gajah denak terbabit, iaitu Abot dan Rambai dibawa dari Pusat Konservasi Kuala Gandah, Pahang, manakala Suria dan Kaila kita bawa dari Sungai Deka, Terengganu.
“Mereka akan menjadi ‘umpan’ untuk memudahkan urusan membawa keluar kelima- lima gajah liar berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adha berkata, seramai 25 anggota terlibat dalam proses pemindahan kali ini.
“Kami terpaksa meredah laluan sungai sejauh hampir satu kilometer untuk membawa keluar gajah- gajah liar ini.
“Semua gajah liar ini adalah sebahagian daripada kumpulan gajah yang ada dalam kawasan Hutan Simpan Sokor Taku ini, dan kita jangkakan masih ada hampir 15 ekor gajah dalam populasi sama.
“Mereka bukan keluar untuk mengancam manusia tetapi mencari makanan susulan kawasan habitat mereka juga terancam dan semakin mengecil berikutan aktiviti- aktiviti tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, sebelum ini dilaporkan lima gajah liar betina berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan selepas dipercayai berkeliaran di kawasan kebun penduduk sejak November lalu.