Oleh SAPINAH AB GHANI
8 April 2021
KOTA BHARU- Kerajaan Kelantan menyambut baik penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disifatkan akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi rakyat di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri menerima dengan hati terbuka keputusan penjajaran semula itu asalkan ia turut melibatkan Kelantan.
“Asal sampai di Kelantan, selain(koc) penumpang yang penting ada (koc) kargo, itu penting.
“Orang Kelantan rajin berniaga, bila ada ECRL pasaran pun lebih luas, bagus untuk merancakkan ekonomi mereka,” katanya.
Ahmad ditemui media selepas merasmikan Pasar Awam dan Penyerahan Kuaters Kerajaan Bandar Satelit Islam Pasir Tumbuh di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Projek ECRL akan ditambah baik dan dijajarkan semula ke laluan asal iaitu Jajaran Utara dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM50 bilion.
Jajaran ECRL di negeri ini melibatkan jarak 43.86 kilometer (km) dengan Kota Bharu sebagai stesen penumpang dan stesen kargo ditempatkan di Pasir Puteh.