Memberi kata dua kepada Pas secara terbuka tidak manis dan bersifat ‘gedebe’, “kata Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, perkara itu sepatutnya dilakukan melalui saluran yang betul iaitu Jawatankuasa (JK) Muafakat Nasional (MN)
“Perbuatan memberi ultimatum (kata dua) secara terbuka kepada rakan dalam MN sangat tidak manis.
“Bukankah ada JK Perunding MN? Kita bersusah payah mendekatkan UMNO dan PAS dengan hemah dan kebijaksanaan.
“Usah kita runtuhkan semangat itu dengan cara yg gedebe (samseng). Kita ikat persaudaraan dengan tali Allah,” ciapnya.
Sekalipun tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus, ia dipercayai merujuk kepada UMNO Kelantan yang meminta Pas membuat keputusan jelas sama ada mahu bekerjasama dengan Umno atau Bersatu pada pilihan raya umum ke-15.
Perkara itu antara yang diputuskan oleh UMNO Kelantan dalam mesyuaratnya yang dihadiri 12 daripada 13 bahagian pada Selasa.
Mesyuarat itu turut membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu.