KOTA BHARU- Remaja yang hilang selepas mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Banggol, di sini ditemui lemas pada jam 7.50 pagi tadi.
Mayat Amirul Mukminin Mohd Izuha, 15 ditemui pasukan penyelamat kira-kira tiga meter dari lokasi dia dilihat tenggelam
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali, berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian pada jam 6 petang semalam, mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai tersebut bersama beberapa orang rakan.
Amirul yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra di sini juga dikatakan berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam sungai, sebelum tiba-tiba tenggelam dan gagal diselamatkan rakan serta penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie, berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan jam 7.45 pagi tadi.
Katanya, anggota bomba menjalankan pencarian di dasar sungai kira-kira enam meter dari tebing sebelum menemui mayat mangsa terlekat di dasar sungai yang berselut lima minit kemudian.
Kredit : Berita Harian