KOTA BHARU – Tujuh lagi kes baharu dikesan hari ini, hasil saringan kontak rapat Kluster Pangkal Changgong.
Angka itu menjadikan jumlah kes positif di bawah kluster tempat kerja itu meningkat kepada 64 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, seramai 259 orang kontak rapat kluster melibatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terdiri daripada pelajar,guru dan ibu bapa disaring bagi membendung penularan wabak itu.
Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang dengan penularan wabak membabitkan kluster tersebut memandangkan pelajar berada dalam asrama yang tertutup dan tidak mempunyai hubungan dengan masyarakat luar.
Katanya, jangkitan wabak itu dipercayai berpunca daripada komuniti luar, sebelum pelajar kembali ke asrama sebagai persediaan menduduki SPM.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Semalam, Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan pelajar tingkatan lima sekolah berasrama itu mengejutkan pelbagai pihak apabila merekodkan 41 kes baharu.
Kluster itu melibatkan daerah Machang, Pasir Puteh dan Tanah Merah.
Kes mula dikesan pada 10 Februari lalu hasil saringan individu bergejala membabitkan seorang pelajar perempuan dari Tanah Merah.