KOTA BHARU-Seorang peniaga kedai di bangunan Bandar Setelit Islam Pasir Tumbuh disini melahirkan kekecewaan berikutan hasil penjualan terjejas.
Ia disebabkan daripada pelanggan tidak dapat melalui ke kedai tersebut ekoran jalan yang ditutup bagi digunakan aktiviti pasar malam dan pasar tani.
Salah seorang peniaga, Hafizan Ab Razak berkata, beliau berharap pemaju dapat mempertimbangkan kaedah yang sesuai bagi memberi keadilan kepada peniaga dibangunan itu.
“Apa perasaan bila kita pembeli dan penyewa bangunan kedai. Pagi ada pasar tani, bila petang ada pasar malam.
“Jalan masuk semua ditutup, buat sampai tiga kali seminggu. Sudah pasti jualan terjejas teruk, “katanya kepada Kelantan Updates.
Beliau berkata, ekoran itu banyak penyewa terpaksa berpindah dengan mencari bangunan lain bagi mengelak terus mengalami kerugian.
“Pihak MPKB-BRI perlu ambil tindakan segera utk kepentingan semua pihak dan peniaga pasar tani dan pasar malam perlu disediakan tempat yang sesuai untuk berniaga,”katanya.
Tinjauan Kelantan Updates mendapati beberapa penyewa termasuk dari sebuah syarikat perabut terkemuka menutup operasi, tetapi tidak diketahui sebabnya.
Kelantan Updates sedang mendapatkan kenyataan daripada pemaju dan pihak MPKB-BRI.