17 Mac 2021
KOTA BHARU- Peniaga akui terjejas teruk berikutan tindakan saman yang dikenakan pihak berkuasa terhadap penjaja jalanan di negeri ini.
Seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Suhaimi berkata, perniagaan dijalankan merosot antara tiga hingga empat kali ganda berbanding biasa.
“Slow (perlahan) sangat, hanya mengharapkan orang berhenti, tapi tak ramai pun.
“Kalau menjaja, ramai yang beli, sambil tunggu lampu isyarat, memang terkesan sangat,” katanya kepada Kelantan Updates di sini hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun mereka akur dengan keputusan pihak berkuasa walaupun jauh di sudut hati masih berharap akan ada yang lebih baik selepas ini.
Sementara itu, biarpun mungkin tidak mampu mengubah apa- apa namun orang ramai yang turut bersimpati dengan nasib peniaga jalanan berharap masih ada ruang untuk mereka dalam mencari sesuap nasi.
Ada yang mengharapkan pertimbangan sewajarnya daripada pihak berkuasa supaya penjaja jalanan ini diberi ruang untuk mencari rezeki.
“Saya rayu polis janganlah tangkap atau saman penjaja di lampu isyarat. Sekolahkan mereka mengenai keselamatan.
Tangkap dulu peniaga warga asing”, kata seorang warganet.
Ada juga yang menyokong tindakan pihak berkuasa lebih- lebih melibatkan aspek keselamatan walau dalam masa sama bersimpati dengan apa yang terpaksa dihadapi penjaja jalanan.
“Kesian juga pada peniaga jalanan, tapi sebenarnya bahaya juga, pernah tengok peniaga hampir kena langgar hari tu,” kata seorang warganet.
Tidak kurang juga yang mendoakan agar peniaga jalanan ini dimurahkan rezeki dan dipermudah segala urusan mereka.