Oleh SAPINAH AB GHANI
28 Mac 2021
KOTA BHARU- Perhimpunan yang diadakan di sebuah negeri di Pantai Timur dikenal pasti menjadi punca kewujudan kluster baru, iaitu Kluster Gong Kulim di negeri ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kluster berkenaan melibatkan sebuah perkampungan, Kampung Gong Kulim di Pasir Puteh.
“Individu daripada kampung berkenaan telah menghadiri perhimpunan tersebut sebelum ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Negeri Kelantan 2021 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini menafikan perhimpunan dimaksudkan berkaitan dengan politik bagaimana tidak boleh mendedahkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Sementara itu, sehingga semalam seramai 123 individu telah disaring dan 25 daripadanya dikesan positif Covid-19 daripada Kluster Gong Kulim.
Dalam pada itu, Dr Zaini turut mengakui majlis keramaian juga antara punca peningkatan kes Covid- 19 di negeri ini sejak beberapa hari lalu.
“Keramaian ini bukan sahaja majlis perkahwinan, tetapi majlis- majlis lain seperti tahlil dan sebagainya,” katanya.
“Mungkin juga kelonggaran yang diberi untuk mengadakan keramaian menjadi penyumbang kepada peningkatan kes Covid- 19 di negeri ini.
“Kerisauan kita ada beberapa perkara, terutama kedatangan Ramadhan selain kebenaran membuka bazar dan sesi persekolahan yang akan dibuka 4 April depan,” katanya.
Menjawab kemungkinan dilaksanakan semula PKPB di negeri ini, Dr Zaini berkata, sebolehnya ia cuba dielakkan.
“Kita akan lihat data dari masa ke semasa, sebolehnya kita tidak ingin laksanakan perkara itu kerana implikasinya terhadap ekonomi dan sosial, tapi jika terpaksa kita perlu laksanakan jugalah.
“Begitu juga PKPD, kita tidak akan buat secara menyeluruh tapi ‘targeted area’ seperti yang dibuat di Gong Kulim,” katanya.