Oleh SAPINAH AB GHANI
8 Mac 2021
KOTA BHARU- Polis Kelantan menahan seorang warga emas selepas dipercayai menyamar sebagai kerabat diraja Istana Kelantan dan turut menawarkan gelaran Datuk palsu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, penahanan suspek berusia 69 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada Istana Kelantan.
“Sebelum itu, kita telah menahan seorang penjawat awam berusia 48 tahun kerana memiliki kad gelaran Datuk dan logo Istana Kelantan.
“Siasatan terhadap tangkapan pertama telah dijalankan, dan dia maklumkan mendapat kad berkenaan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai kerabat Istana Kelantan,” katanya di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, susulan daripada itu, pada 27 Februari pihaknya telah menyerbu sebuah rumah di salah sebuah kampung di Machang dan menahan suspek terlibat.
Katanya, suspek juga dipercayai pernah meminta sumbangan daripada syarikat tertentu dengan mengaitkan nama Istana Kelantan.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan termasuk dokumen, kad nama dan cop.
Tambahnya, suspek akan didakwa hari ini mengikut Seksyen 419, 468 dan 473 Kanun Keseksaan.