TANAH MERAH – Polis menahan seorang lelaki dan berjaya merampas dadah serta ubat batuk bernilai RM6,850 di Kampung Gong Gua, Bukit Panau, di sini,semalam.
Rampasan itu membabitkan 630 biji pil kuda, 45 botol ubat batuk (Kodein), dua kilogram daun ketum dan dua biji pil erimin 5.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, serbuan dilakukan pada jam 1.35 tengah hari oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.
Katanya, pihaknya turut menyita sebuah kereta Perodua Kancil dan Kelisa, topi keledar jenama Shoei J Force, dan barang kemas.
Tambahnya, selain itu, telefon bimbit, beg tangan, beg sandang, jam tangan serta wang tunai berjumlah RM1,300 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah turut disita.
“Suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu namun melalui semakan yang dibuat, dia tiada rekod lampau.
“Ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis methampethamine dan ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 23 Februari.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.