SEMUA deligasi UMNO Kelantan yang membantu kempen Pilihanraya Negeri PRN) Sabah bebas koronavirus (Covid -19).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, saringan Covid-19 buat kali ketiga pada hari ini kekal negatif sekaligus menyaksikan kesemua jentera yang terlibat bebas wabak tersebut.
Katanya, biarpun ujian saringan kali pertama dan kedua didapati negatif, beliau tetap mengarahkan agar kesemua jentera wajib dikuarantin selama 14 hari sebelum pulang ke pangkuan keluarga.
Tambahnya, UMNO Kelantan mengambil pendekatan untuk kuarantin kendiri demi keselamatan petugas, ahli keluarga, kenalan dan masyarakat khususnya di negeri Kelantan.
“Ia bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.Kami bertugas di daerah Sandakan yang ditakrifkan sebagai kawasan hijau, namun kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga.
“Hari ini, kesemua petugas telah pulang ke pangkuan keluarga dengan penuh
keyakinan bahawa mereka bebas wabak.
“Terima kasih kepada semua petugas UMNO Kelantan di atas pengorbanan mereka demi sebuah perjuangan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Machang itu turut menyeru orang ramai agar terus menjaga keselamatan diri, patuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan dan sentiasa menjaga kebersihan untuk mencegah penularan wabak Covid- 19 yang lebih serius.