TANAH MERAH – Masalah air melimpah atas jalan dihadapi penduduk Kampung Banggol Kemunting, dekat sini, sejak sekian lama bakal berakhir selepas mendapat perhatian ADUN Bukit Panau yang turun padang ke kampung itu, baru- baru ini.
Datuk Abdul Fattah Mahmood pada laman Facebooknya berkata, paip air milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dikenal pasti punca keadaan itu apabila menghalang parit dan longkang yang dibina pihak berkuasa tempatan.
“Air ‘sebak’ ini disebabkan parit dan longkang yang dibina Majlis Daerah Tanah Merah terhalang oleh paip air Kelantan (AKSB).
“Pihak AKSB akan buat pengubahsuaian segera bersama MDTM. Terima kasih GM (Pengurus Besar) AKSB (Datuk Ir. Dr. Azuhan Mohamed) yang mengambil tindakan segera,” katanya selepas lawatan ke kawasan tersebut.
Menurutnya, MDTM juga akan memasang longkang baharu di kawasan itu bagi menggantikan longkang sedia ada yang kecil dan tidak mampu menampung air banyak setiap kali hujan lebat.
Tambahnya, MDTM juga akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penyelesaian menyeluruh kepada masalah itu.
Abdul Fattah turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen, yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang memberikan komitmen untuk membantu.
Kredit : FB Abdul Fattah Mahmood