23 Mac 2021
KOTA BHARU- Kanak- kanak derita masalah kegagalan jantung dijadual menjalani pembedahan minggu depan.
Bagaimanapun dana diperlukan Mia Sara, 9, yang kini sedang menerima rawatan di salah sebuah hospital kerajaan masih belum mencukupi.
Setiausaha Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO), Wan Nor Aziemah Wan Zainuddin berkata, Mia Sara memerlukan kira- kira RM31,000 lagi sebelum menjalani pembedahan.
“Insya Allah pembedahan Mia dijangka dibuat pada 1 April di sebuah hospital kerajaan di sini.
“Tapi setakat ini sejumlah RM48,477.37 berjaya dikumpulkan, kita harap dengan baki masa yang ada, dana diperlukan dapat kita perolehi.
“Kos keseluruhan diperlukan Mia sebanyak RM80,000 untuk tujuan pembedahan dan rawatan,” katanya ketika dihubungi Kelantan Updates di sini.
BBNGO merupakan badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab membantu mengumpulkan dana untuk Mia Sara.
Mengulas lanjut, Wan Nor Aziemah berkata, kondisi Mia Sara semakin baik dan pihaknya berharap pembedahan itu nanti berjalan lancar.
Wan Nor Aziemah berkata, pihaknya juga cuba memberikan yang terbaik buat Mia Sara dengan bantuan dan sokongan seluruh rakyat Malaysia.
“Tanpa sokongan semua pihak, mungkin sukar untuk kami menjayakan misi mengumpul dana untuk Mia,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan anda ke akaun Maybank BBNGO 553131011283 atau menghubungi Wan Nor Aziemah di talian 010-2399227.
Photo: BBNGO