ROHANA ISMAIL
TUMPAT – Bagi meringankan beban mangsa banjir yang juga berdepan pandemik COVID- 19 di Kelantan, dua badan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah agensi kerajaan bergabung agihkan barang keperluan harian hari ini.
Menerusi inisiatif Misi Bantuan Pasca Banjir, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), sumbangan keseluruhan bernilai RM420, 000 mula diagihkan di Kelantan selepas Johor dan Pahang.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, Kelantan negeri ke tiga menerima bantuan inisiatif Misi Bantuan Pasca Banjir DPMM, PPIM dengan kerjasama APM tersebut.
“Semalam agihan bantuan disalurkan kepada penduduk di Tanah Merah, Pasir Mas dan hari ini penduduk di perkampungan pinggir Sungai Golok dan sungai Kelantan di Tumpat yang terjejas banjir dan turut terkesan dengan Pandemik COVID-19,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan Misi Bantuan Pasca Banjir DPMM, PPIM di Kampung Atas Kok Simpangan di sini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri,
Wan Roslan Wan Hamat yang juga ADUN Pengkalan Kubor dan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah.
Sementara itu, Yang Dipertua DPMM Kelantan, Wan Zulkifli Wan Abdullah berkata, kutipan sumbangan ini sebahagian besarnya daripada usahawan DPMM dan ahli PPIM sendiri.
“Agihan bantuan ini kita mengambil kira mereka yang terjejas banjir dan pendemik COVID – 19.
“Di Kelantan lebih 500 keluarga menerima bantuan dalam misi bantuan pasca banjir dan COVID – 19 ini.
” Kita memahami keadaan mereka yang terjejas banjir dan pandemik COVID – 19 dan ada dalam kalangan mereka masih belum dapat bekerja lagi, “katanya.
Dalam masa yang sama katanya, DPBM turut mengumpil maklumat usahawan terjejas di Kelantan untuk membantu mereka dari sokongan moral dan khidmat nasihat.