Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambah baik skim I-Sinar yang diumumkan agensi itu semalam.
Beliau berkata, penambahbaikkan itu dengan tidak mengenakan apa-apa syarat bagi mana-mana ahli yang ingin mengeluarkan simpanan mereka untuk menghadapi krisis pandemik yang sudah melanda selama 10 bulan.
“Kerajaan PN patut letakkan kepercayaan pada Rakyat sebab Rakyat sendiri yang tahu jika mereka sedang berdepan dengan cabaran kewangan dan Rakyat juga faham mereka tidak akan sia-siakan simpanan masa tua mereka jika tiada keperluan mendesak.
Adakah ianya logik bahawa ahli yang pendapatannya RM10k sebulan yang turun 30 peratus menjadi RM7k sebulan dianggap terjejas tetapi ahli yang pendapatannya RM2k sebulan yang turun 20 peratus menjadi RM1,600 tidak dikira sebagai terjejas?”, katanya dalam satu kenyataan.
Najib yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga tidak akan tahu berapa jumlah beban tunggakkan hutang atau liabiliti dihadapi ramai akibat pendapatan yang tidak menentu yang telah bertimbun setiap bulan sejak pandemik bermula 10 bulan lalu.
Katanya, ianya bukan tanggugjawab kerajaan untuk membuat andaian ahli mana yang sedang terdesak dengan meletakkan syarat arbitrari bahawa pendapatan ahli perlu berkurang 30 peratus sebelum layak.
“Sebaliknya, tanggung jawab kerajaan ialah untuk mempermudahkan bagi Rakyat dan untuk mencari jalan untuk memastikan simpanan KWSP dapat dipulihkan pada masa tersingkat setelah pandemik Covid berakhir,”katanya.
Beliau dalam masa yang sama berkata, rakyat yang sedang lemas sekarang tak mampu tunggu tiga bulan lagi sebelum diberi pelampung.
Pengumuman KWSP semalam bagi kategori 2 bermaksud ramai yang terdesak sudah tunggu sejak bulan Oktober tetapi perlu tunggu lagi sehingga 11 Januari 2021 sebelum dibenarkan memohon dengan pelbagai bukti dokumen.
“Selain itu rakyat kena tunggu lagi 2 hingga 3 minggu untuk dimaklumkan KWSP jika permohonan layak atau tidak.
“Jika layak, bayaran hanya akan dibuat sebelum akhir bulan berikutnya iaitu pada akhir bulan Februari.
Adakah ianya munasabah bagi mereka yang tengah lemas untuk tunggu 3 bulan lagi sehingga akhir bulan Februari sebelum mendapat pelampung sedangkan mereka sudah berharap sejak bulan Oktober iaitu 5 bulan dahulu,”katanya.