21 April 2021
KOTA BHARU- Ramai meluahkan rasa sedih selepas tidak lagi mendengar azan Subuh dilaungkan dinihari tadi.
Ia susulan pengumuman penutupan masjid mukim, surau dan musalla di seluruh negeri oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang bermula hari ini.
Rata- rata mengharapkan agar kebenaran diberikan kepada bilal untuk melaungkan azan seperti biasa.
“Sepi pagi ni tanpa laungan azan, sekalipun masjid mukim, surau dan musalla diarah tutup, kalau boleh benarkanlah bilal laungkan azan,” kata seorang netizen.
“Sedih dan kecewa bila azan tak kedengaran, sedangkan rumah tak jauh dari masjid,” kata seorang lagi netizen.
“Sepatutnya MAIK kena jelaskan bahawa perlu ada sekurang- kurangnya 2- 3 orang dlm masjid untuk azan, solat pun boleh tapi tak buka kepada jemaah lain,” kata seorang netizen dikenali Norisham Nawi.
Semalam, Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, semua masjid mukim, surau dan musalla di negeri ini ditutup untuk semua aktiviti termasuk solat Jumaat, solat fardu, solat sunat tarawih dan aktiviti- aktiviti lain.
Bagaimanapun, Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan memaklumkan, Sultan Muhammad V mengampuni perkenan solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat tarawih dibenarkan di masjid negeri, bandar dan jajahan.
Dalam pada itu, MAIK melalui arahan terbaru memohon imam memastikan pelaksanaan azan, solat fardhu, solat tarawih, bacaan Yaasin dan zikir munajat dilaksanakan di masjid masing- masing tetapi hanya melibatkan beberapa individu seperti imam tua, iman muda, bilal dan siak.
Azan, solat fardhu dan solat tarawih juga dibenarkan di surau dan musalla tetapi hanya untuk imam, bilal dan siak sahaja.
Kredit foto:
Kubah Senja Official