KOTA BHARU – Kerja-kerja menaiktaraf lokasi pelancongan di negeri ini giat dilaksanakan sekaligus menawarkan lebih banyak lokasi percutian dan rekreasi kepada masyarakat setempat.
Jika sebelum ini, rakyat Kelantan memilih untuk ke negeri jiran,Terengganu untuk meluangkan masa lapang bersama keluarga namun selepas ini, mereka mempunyai banyak pilihan dan yang pastinya, lokasi itu terletak di Kelantan.
Terbaharu, kerja-kerja menaiktaraf Pantai Kundur giat dijalankan termasuk menyediakan kemudahan asas seperti tandas, musalla, taman permainan, kerusi rehat, laluan trek joging dan kiosk.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, jalan di kawasan itu juga dinaiktaraf bagi menyediakan kemudahan kepada orang ramai.
“InsyaAllah, Pantai Kundur akan menjadi pusat peranginan pilihan keluarga suatu masa nanti. Suasana redup dengan deretan pohonan rhu menjadikan ianya salah satu lokasi yang mesti dikunjungi.
“Proses pembukaan dan pembesaran jalan sedang giat dijalankan. Kemudahan asas seperti tandas, musalla, taman permainan, kerusi rehat, laluan trek joging, kiosk akan turut disediakan bagi memberi keselesaan kepada para pengunjung, kongsinya pada laman media sosial, Facebook, semalam.
Selain Pantai Kundur, beberapa lokasi pelancongan sedang dinaiktaraf di negeri ini termasuk Zoo Kuala Krai dan Kolam Air Panas Tok Bok yang mana bakal menjadi destinasi pilihan ramai pada hujung minggu dan percutian.