MACHANG – Setelah lebih lima bulan ditutup gara-gara wabak koronavirus (Covid-19), Pasar Isnin Machang di sini kembali beroperasi dalam normal baharu sekaligus merancakkan ekonomi peniaga dan menceriakan suasana bandar ini.
Ia bukan sahaja dinanti-nantikan peniaga yang telah kehilangan mata pencarian tetapi juga orang ramai yang tidak sabar mengunjungi pasar minggu yang cukup terkenal dan sinonim di kalangan masyarakat Kelantan itu.
Lebih dikenali sebagai Pasar Sena, iaitu mengikuti sebutan atau loghat masyarakat Kelantan yang merujuk kepada hari Isnin, pasar ini dikenali mereka sebagai pasar minggu termurah di negeri Serambi Mekah ini.

Peniaga, Noriah Daud, 57 berkata, dia bersyukur Pasar Isnin mula beroperasi seperti biasa sekaligus membantunya meningkatkan pendapatan terutamanya pada Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.
Katanya, dia berniaga di Pasar Isnin Machang sejak lebih 10 tahun lalu dan hasil jualan yang diperolehi lebih memberangsangkan berbanding pasar-pasar di tempat lagi.
Tambahnya, sekalipun terikat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan namun perniagaan tetap berjalan seperti biasa dan mendapat sambutan yang baik dikalangan pengunjung.
“Sekalipun orang tak ramai seperti biasa namun saya bersyukur pasar ini kembali beroperasi dan pengunjung juga nampak ceria,” katanya.
Bagi memeriahkan hari pertama pembukaan pasar tersebut, majlis pelancaran dan solat hajat turut diadakan Persatuan Peniaga Pasar Isnin Machang (PPPIM) dengan kerjasama Majlis Daerah Machang yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan (Adun) Kemuning, Mohd Roseli Ismail.
Hadir sama Ketua WHIP Machang,Ir Abdul Ariffahmi Abd Rahman dan Pengerusi PPPIM, Mohd Nor Nordin.

Menurut Mohd Roseli, pihaknya berharap pembukaan pasar tersebut dapat meningkatkan pendapatan peniaga dari seluruh negeri ini yang mana kebanyakkan bergantung kepada pendapatan sebagai peniaga semata-mata.
Katanya, pasar ini akan dibuka secara berperingkat yang mana pada hari pertama itu hanya melibatkan seramai 200 peniaga sahaja.
“Hari ini, kita akan lihat dan tambah baik keperluan berdasarkan SOP yang telah ditetapkan sebelum membukanya kepada lebih ramai peniaga yang mana dianggarkan berjumlah hampir 500.
“Peniaga dan pengunjung nampak cukup ceria apabila pasar yang ditunggu-tunggu kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nor berkata, pada PKPP ini, peniaga dan pengunjung perlu patuh kepada SOP yang dikenakan dan semua peniaga diminta berdaftar sebagai ahli PPPIM bagi melayakkan mereka berniaga seperti biasa.
Katanya, sehingga semalam seramai 400 peniaga telah berdaftar sebagai ahli dan percaya masih ramai yang tidak mengetahui tentang keperluan itu terutamanya dikalangan peniaga warga emas.
Jelasnya, jumlah peniaga akan bertambah dari masa ke semasa dan pasar itu akan kembali seperti sebelum ini berdasarkan SOP yang ditetapkan kerajaan.