KOTA BHARU l Semua aset termasuk kenderaan dan bangunan milik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di Kelantan bakal diambil alih Pasukan Gerakan Am (PGA) mulai 1 Oktober ini susulan pembubaran agensi itu oleh kerajaan, baru-baru ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar, berkata susulan itu, 101 anggota polis yang berkhidmat dalam agensi berkenaan di negeri ini juga akan diserapkan ke dalam PGA.
Beliau berkata, dengan pembubaran itu juga pejabat AKSEM di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang akan diserahkan kepada PGA.
“Setakat ini, anggota polis dalam AKSEM akan diserapkan ke dalam satu kompeni Batalion Ke-8 PGA berpangkalan di Pengkalan Chepa di sini.
“Kita berharap segala proses berjalan sempurna bagi melancarkan dan memperkasa penugasan anggota di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui di Kem Batalion Ke-8 PGA Pengkalan Chepa, hari ini.
Pada Jun lalu, kerajaan mengumumkan AKSEM yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan, manakala tugas agensi itu diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dengan pembubaran itu, PGA akan meneruskan semua fungsi AKSEM di sempadan negara menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.
Hasan Basri berkata, penugasan AKSEM di tiga sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Lalang Pepuyu di Tanah Merah, Neting di Pengkalan Kubor dan Chabang Empat Salam di Rantau Panjang juga akan diambil alih PGA. – BERNAMA