6 April 2021
TUMPAT- Tindakan pantas sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membolehkan sebuah proton saga dengan muatan petrol dirampas di Pengkalan Kubor sini, semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, kereta berkenaan dirampas dalam satu operasi yang dijalankan penguatkuasa kementerian berkenaan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor.
“Satu Operasi Bersepadu telah dijalankan KPDNHEP Kota Bharu bersama Pasukan Polis Marin, Wilayah 3, Pengkalan Kubor semalam bermula jam 12 tengah hari.
“Operasi Benteng Covid yang dilaksanakan itu bertujuan membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan melalui sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi dengan kekuatan enam Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kota Bharu dan lima pegawai Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Pengkalan Kubor ketika menjalankan risikan dan pemantauan di sepanjang sempadan negara ternampak sebuah kenderaan berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran Malaysia dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu.
“Pasukan operasi mengesyaki pemandu berkenaan terlibat dengan kegiatan penyeludupan petrol ke negara jiran.
“Selepas melakukan pemantauan dan risikan beberapa minit, pasukan operasi kemudian menyerbu pemandu kenderaan terbabit sebelum menahan seorang lelaki Melayu warganegara tempatan berumur lebih kurang 30- an,” katanya.
Mengulas lanjut, Azanizam Affendi berkata, sebaik ditahan pasukan membuat pemeriksaan dan menemui barang kawalan iaitu minyak petrol di dalam tangki tambahan kenderaan terbabit.
“Dianggarkan terdapat 100 liter petrol di dalamnya dan pasukan juga menemui tiga tong plastik putih dengan anggaran 30 liter petrol berada dalam kereta berkenaan yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya.
Beliau berkata, modus operandi penyeludupan kali ini ialah penyeludup barang kawalan (petrol) dengan mengisi tangki kenderaan yang telah diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki barang kawalan tanpa lesen, permit atau kebenaran pengawal.
“Nilai rampasan kenderaan itu dianggarkan berjumlah RM3266.50, iaitu RM3000 bagi kereta dan RM266.50 untuk petrol,” katanya.
Dalam pada itu, Azanizam Affendi berkata, KPDNHEP Kelantan memberi amaran kepada mana- mana individu yang berhasrat melakukan penyeludupan ke negara jiran supaya menghentikan kegiatan tersebut.
“Pemilik stesen- stesen minyak pula diingatkan supaya tidak menjual atau bersekongkol membuat penyelewengan terhadap barangan kawalan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana- mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini, malah mereka akan berhadapan dengan hukuman berat serta denda tinggi jika didapati bersalah,” katanya.