PASIR MAS – kelicikan seorang lelaki menyeludup lapan ekor lembu sendirian terbongkar selepas ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7),awal pagi tadi.
Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu menarik sendiri haiwan tersebut dari Sungai Golok sebelum mengangkut untuk dihantar kepada peraih.
Pegawai Pemerintah PGA 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya terserempak dengan sebuah lori jenis Isuzu dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di Kampung Tok Rusa, Meranti pada jam 6.45 pagi
Katanya, hasil pemeriksaan didapati terdapat lapan ekor lembu pelbagai warna di belakang lori, namun suspek gagal menunjukkan sebarang surat atau dokumen sah berhubung pemindahan ternakan.
Tambahnya, suspek mengaku lembu diseludup melalui jalan sungai yang tidak diwartakan ketika disoal siasat
“Suspek kemudiannya ditahan manakala lori serta lembu dirampas dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Gambar hiasan