Oleh SAPINAH AB GHANI
7 Mac 2021
RANTAU PANJANG: Jika sebelum ini barangan keperluan harian menjadi keutamaan, namun kali ini Thirdforce memberi sedikit kelainan apabila memilih burger sebagai sumbangan kepada anak- anak asnaf di sini.
Wakil Thirdforce Rantau Panjang, Tuan Zaimah Raja Omar berkata, idea untuk mengagihkan sumbangan berbentuk makanan yang jarang dinikmati anak- anak kurang berkemampuan ini ternyata berjaya membuatkan mereka tersenyum gembira.
“Kita peruntukkan 100 biji burger untuk diagihkan kepada anak- anak asnaf hari ini.
“Thirdforce cuba mencari sedikit kelainan. Selalunya kita agihkan barangan keperluan harian, tapi kali ini kita pilih burger,” katanya selepas mengagihkan burger di Bilik Gerakan Thirdforce Rantau Panjang.
Tuan Zaimah berkata, sumbangan burger yang diberikan itu antara salah satu aktiviti ‘Sedekah Jumaat’ yang dijalankan pihaknya setiap minggu.
“Aktiviti ni kita dah mula tahun lalu, dan sasaran kita kepada sumbangan berbentuk makanan kepada golongan asnaf yang terpilih di sekitar Rantau Panjang.
“Sebelum ini kami pernah agihkan piza, jagung manis, makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) dan McDonald’s, kita cuba pelbagaikan menu setiap minggu,” katanya.
Tuan Zaimah berkata, satu kepuasan bagi pihaknya apabila dapat melihat keterujaan anak-anak menikmati burger berkenaan.
Tambahnya, selain burger pihaknya turut mengedarkan tabung dan pelitup muka untuk kegunaan kanak- kanak berkenaan.