KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan notis temu siasat kepada pemilik kenderaan yang tular baru-baru ini, selepas pelajar membonceng motosikal tidak memakai topi keledar.
Gambar pelajar tersebut tular di media sosial apabila memakai pakaian sekolah yang diconteng dengan tulisan mencarut guru.
Lokasi kejadian dipercayai sekitar Kota Bharu.
Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya mengeluarkan notis temu siasat mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan itu.
Katanya, menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.
“Mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikuti spesifikasi yang ditetapkan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 6 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.
“Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hanif Yusabra berkata, pihaknya memandang serius isu keselamatan jalan raya dan menasihatkan supaya ibu bapa memantau aktiviti anak-anak agar tidak terjerumus dengan aktiviti tidak sihat.
“Kami juga ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang lalu-lintas yang ditetapkan supaya tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.