29 April 2021
KOTA BHARU- Jika sebelum ini badan bukan kerajaan (NGO) Third Force giat membantu proses pengurusan jenazah kepada golongan asnaf, dan kali ini usaha itu akan diperluas dengan melibatkan mereka (asnaf) yang meninggal dunia di hospital pula.
Pengasasnya, Raja Shamri Raja Husin berkata, buat julung kalinya Third Force akan bekerjasama dengan Pusat Islam Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi membantu menguruskan jenazah asnaf yang meninggal dunia di hospital.
“Memang sebelum ini pun kita dah bantu uruskan jenazah asnaf tapi selepas ini kita akan berkerjasama dengan Kelab Kebajikan Qariah Masjid HUSM untuk salurkan maklumat dan dekatkan lagi kita dengan penerima.
“Bukan sekadar itu, kita juga akan bantu kebajikan pesakit- pesakit asnaf yang memerlukan termasuk dari segi kos pembedahan dan sebagainya.
“Sekurang-kurangnya dengan cara ini kita dapat bantu ringankan beban pihak HUSM dalam merawat pesakit- pesakit asnaf berkenaan,” katanya kepada media di sini.
Terdahulu, Raja Shamri menghadiri Program Ihya Ramadan di Rumah Ronald Mc’Donald HUSM dan turut mengagihkan 1,000 pek makanan berbuka puasa kepada pasukan barisan hadapan, pelajar serta tetamu di rumah berkenaan.
Mengulas lanjut, Raja Shamri berkata, misi bantuan asnaf itu sangat penting kerana beliau sebolehnya tidak mahu golongan ini dipinggirkan walaupun pada saat kematian mereka.
Beliau berkata, menjadi tanggungjawab NGO berkenaan untuk membantu meringankan beban mereka kerana tidak semua asnaf mampu menanggung kos pengurusan jenazah yang dikenakan.
“Kita masih ingat satu kes sebelum ini, pesakit berkenaan patah kaki, tapi disebabkan tidak mampu untuk merawat kakinya berikutan masalah kos dan sebagainya, ia tertangguh hingga berbulan-bulan.
“Bila kita jumpa dia dan hulurkan bantuan, waktu itu kakinya sudah tidak dapat diselamatkan.
“Ini satu perkara yang amat menyedihkan kerana kalau kita dapat maklumat lebih awal, mungkin kita mampu mengubah keputusan doktor dan cuba sedaya upaya selamatkan kaki asnaf itu,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin bekerjasama dengan Yayasan Raja Shamri boleh menghubungi pihak yayasan berkenaan agar lebih ramai golongan asnaf dapat dibantu.