KOTA BHARU l Tiga lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di negeri ini susulan kenaikan kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu.
Semalam, PKRC Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut mula dibuka dan dua lagi PKRC akan dibuka di jajahan Machang dan Gua Musang dalam masa terdekat.
Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, PKRC SMK Kampung Laut dapat menempatkan seramai 250 pesakit iaitu 130 lelaki dan 120 wanita.
“Pembukaan kembali PKRC di SMK Kampung Laut menjadikan sebanyak 13 keseluruhan PKRC di negeri ini.
“Kita juga akan membuka PKRC di dua daerah iaitu Machang dan Gua Musang. Pihak kita kini sedang dalam proses untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai.
“PKRC di dua daerah berkenaan akan dibuka dalam masa terdekat bagi menampung keperluan pesakit yang makin bertambah,” katanya memetik laporan Berita Harian, semalam.
Dr Mohd Zurairie berkata, kadar penggunaan katil di semua PKRC di Kelantan sehingga hari ini adalah di antara 70 hingga 95 peratus.
Semalam, Kelantan merekodkan 1,003 COVID-19 dan 13 kluster baharu yang mana sembilan daripadanya adalah kluster komuniti.