KERETA api ke Dabong menjadi satu fenomena di kalangan masyarakat Kelantan hari ini apabila menjadi tular dan masing-masing tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api sekaligus menghayati alam semulajadi sepanjang perjalanan tersebut.
Fenomena baharu ini menyaksikan kereta api tersebut sesak setiap hujung minggu namun tidak menjadi halangan malah ada penumpang yang sanggup berdiri sepanjang perjalanan itu.
Dengan harga tiket serendah RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak dari Tumpat ke Dabong, orang ramai menjadikan perjalanan tersebut sebagai aktiviti hujung minggu bersama anak-anak sekaligus mengembalikan nostalgia menaiki kereta api pada dulu-dulu.
Bukan hanya menikmati alam semulajadi, orang ramai juga dapat berkunjung ke beberapa lokasi menarik di Dabong seperti Gua Ikan, Gunung Stong,Air Terjun Jelawang, Gua Gelap dan banyak lagi.
Tidak ketinggalan juga, mi udang galah viral, pelbagai makanan barat dan ikan patin tempoyak juga menanti penumpang-penumpang di stesen terakhir tersebut sebelum berpatah balik ke Tumpat.
Dan mungkin ramai yang masih tak tahu atau tak perasan, terdapat lapan terowong keretapi di sepanjang jajaran dari Kuala Krai Ke Dabong.
Salah satunya adalah terowong nombor lima ( dikira dari arah Selatan) yang mana siap dibina pada tahun 1930. Terowong sepanjang 730 meter ini boleh dikira sebagai binaan yang hebat pada ketika itu dan terdapat lubang angin di tengah-tengah terowong tersebut yang berfungsi sebagai sistem pengudaraan.
Kredit: Fb KTMB/Warga Dabong